HOME STUFF Giveaways

cerpen : Diganggu Abang Jaga



Erk.. peringatan, jangan baca cerpen ni kalau tengah malam ea.. Saja je buat cerpen ni. tak ada kaitan antara yang hidup atau yang mati. 


 
AINA MENGUAP KERANA MENGANTUK SAMBIL MENGGELIAT MELEGAKAN BAHAGIAN PINGGANGNYA YANG PENAT SETELAH SETENGAH JAM DUDUK MENELAH MEMBACA BUKU UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN. DIA BERPALING KE ARAH TINGKAP YANG MENGHADAP KE ARAH TASIK YANG TERANG KELIHATAN DISINARI OLEH CAHAYA BULAN PENUH, SAMBIL MENAHAN PERASAAN MENGANTUK.

Sofea, rakan sekelas Aina yang duduk dibelakang kelas sudahpun mula berkemas-kemas sambil menguap beberapakali kerana mengantuk. “Sudahlah Aina, aku pun dah penat. Tinggal kita berdua sajaha. Aku rasa nak balik ke asrama, nak baring-baring di atas katil. Marilah temankan aku balik, aku takut hendak balik seorang diri.”
      Aina tertawa kecil. “Engkau ni Sofea, anak dara dah besar panjang pun masih takutkan gelap. Apa yang nak ditakutkan. Kalau engkau takut, engkau serukan sahaja nama abang guard yang suka ganggu kau tu. Tentu dia datang berlari, ‘Abang datang Sofea!!! Abang datang Sofea…” usik Aina sambil ketawa.
       “Hai jaga sedikit mulut engkau tu. Jangan cabul sangat. Engkau jangan tak tahu yang bangunan ni ‘keras’ sedikit. Nanti jangan kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Ujar Sofea.
       “Baiklah-baiklah. Aku tarik balik kata-kata aku itu. Maaf ! Maaf,” kata Aina sambil tertawa kecil.
      Aina mengenyeh-genyeh matanya yang perit berpinar-pinar itu.  Dia ingin benar menghabiskan bab tiga itu, tetapi akhirnya dia pun mengaku kalah. “Hoi Sofea!” jeritnya. “Engkau tu dah sudah ke? Marilah kita balik. Aku pun dah penat. Baca lama-lamapun bukan nak masuk dalam kepala otak ni. Dah tepu ni.” Ajak Aina sambil berkemas.
       Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki bergema di laluan pejalan kaki, memecah kesunyian malam. Sofea menekup mulutnya terperanjat hampir mengerit., perasaan takut jelas terbayang di matanya. Aina dan Sofea masing-masing berbalas pandangan, tertanya-tanya siapakah yang datang ke kelas di tengah-tengah malam begini.


BUNYI TAPAK KAKI 
        Masing-masing merenung kearah pintu masuk, debaran jantung berdegup kencang seolah-olah baru sahaja tamat berlari 100 meter. Bunyi tapak kaki itu semakin kuat, menghampiri kelas mereka berdua. Sebentar kemudian, bunyi pintu kelas sebelah dibuka orang kendengaran. Sofea sudah pucat ketakutan, segera dia menerpa ke arah Aina dan memegang tangan dengan erat.
       “Dam.” Bunyi dentuman pintu ditutup pula kedengaran. Perasaan seram menyelubungi mereka berdua apabila bunyi tapak kaki itu kembali kedengaran semakin kuat dan semakin kuat. Tiba-tiba…
       “Wah! Kuat belajar nampaknya Sofea, Aina.”
       Mereka berdua tersentak apabila disapa dari arah belakang. Aina dan Sofea berpaling kearah belakang. Abang guard yang mereka kenali hanya sebagai Abang Mail kelihatan sedang tersenyum sambil melambai kearah mereka berdua daripada arah luar tingkap sambil berjalan lurus ke hadapan. 
       Aina bernafas lega, “Abang Mail ini takut-takutkan kami sahaja. Nyaris kami tidak mati ketakutan. Sofea ni sudah nak pengsan tahu tak.” Kata Aina sambil berpaling kearah Sofea.
       “Kalau Sofea sudi, abang Mail boleh temankan,” ujar abang guard itu sambil tertawa kecil.
       Muka Sofea semakin pucat ketakutan, suaranya terkunci,bisu kelu, hanya gelengan kepalanya yang pantas sahaja menjawab pelawaan itu. Abang Mail terus berlalu dari situ, hanya bunyi ketawa kecilnya yang kedengaran. Sekali sekala bunyi lolongan anjing memecah kesunyian.
“Engkau ini kenapa takut sangat. Itukan hanya abang Mail, janganlah sampai tak boleh berenggang dengan aku,” Kata Aina, terganggu dengan perangai kawannya yang nampaknya masih tidak dapat mengawal perasaan takutnya dan terus sahaja menggenggam kemas lengannya sehinggakan dia berasa sukar hendak berkemas.


TIDAK BOLEH TERBANG


       Keesokan harinya, Aina tidak sabar-sabar lagi untuk menceritakan kejadian semalam kepada kawan-kawannya yang lain.
       “Engkau tahu, Sofea ni pucat lesi mukanya bila abang Mail tawarkan hendak temankan dia.” Cerita Aina sambil disambut dengan deraian ketawa oleh rakan-rakannya yang lain. Sofea hanya mendiamkan dirinya, ternyata masih belum pulih dari perasaan terkejutnya itu.
        “Kalau aku, tentu aku sahut tawaran abang Mail tu. Seronok apa, ada orang nak temankan. Abang Mail tu boleh tahan juga orangnya, bujang pulak tu,” sahut Lina sambil ketawa kuat.
       “Engkau orang jangan celupar sangat. Bukannya nama engkau yang dia panggil. Cuba engkau tengok sebelah kanan kelas kita ini. Bukan ke tidak ada tempat berjalan kaki. Kalau betul abang Mail yang tegur aku dan Aina, macam mana dia berjalan di sebelah situ kalau dia tidak boleh terbang. Bukankah kelas kita ni tingkat tiga. Yang si Aina ni pun satu, perkara macam itu pun tidak perasan. Aku sudah hendak terkencing masa itu, tambah pula, nama aku yang disebut bukannya Aina,” ujar Sofea lagi.
       Seluruh kelas terdiam mendengar kata-kata Sofea, wajah Aina bertukar pucat sepucatnya. Masing-masing berebut-rebut meluru ke arah tingkap sebelah kanan untuk memastikan kebenaran kata-kata Sofea itu. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Sofea. Masing-masing melopong tanpa dapat berkata apa-apa. Sejak dari hari itu, mereka tidak berani pulang lewat, apatah lagi abang Mail sendiri menafikan yang dia tidak pernah bertemu dengan Sofea dan Aina pada malam tersebut.  


Till then xoxo
Assalamualikum :)

No comments:

Post a Comment

I'm looking forward for your comment. Thanks :)